Khamis, 3 Februari 2011

PETUA MELATIH DIRI UNTUK RAJIN BERSYUKUR



1. Ikhlaskan hati mensyukuri setiap pemberian Tuhan pada diri kita - tubuh badan, keluarga yang menyayangi kita, pasangan hidup kita, nafas kita,duit dalam poket kita walau cuma ada RM10 sahaja.

2. Panjatkan kesyukuran 3 minit setiap pagi selepas bangun tidur, dan 3 minit sebelum kita tidur. Pada saat tu, emosi di minda berada pada tahap yang sungguh tenang, menjadikan minda mudah menyerap untuk masuk apa yang kita fikirkan ketika itu. Minda akan ‘rakam’ segala apa yang ada di hati kita. Gunakan masa singkat ini untuk mengucap syukur pada Tuhan atas nikmat yang kita ada.

3. Bersyukurlah dengan ikhlas. Pejamkan mata, ucapkan syukur dan rasai kesannya di dalam hati. Jika air mata kita mengalir, itu adalah petanda kita benar-benar bersyukur.

Rabu, 2 Februari 2011

PETUA UNTUK BERJAYA DALAM HIDUP


Jangan berpuashati dengan keadaan baik yang ada pada anda sekarang melainkan anda telah berusaha keras untuk menjadikan yang baik itu menjadi lebih baik. Teruskan belajar untuk memperbaiki hidup agar matlamat ini tercapai. Belajar tidak semestinya melalui sekolah formal atau buku-buku mahal. Kita boleh belajar dan terus belajar melalui pengalaman hidup kita sehari-harian atau melalui pengalaman orang lain. Bak kata pepatah, belajarlah daripada kesalahan-kesalahan orang lain kerana anda tidak akan hidup lama untuk melakukan kesalahan-kesalahan itu sendirian.

1. Tenang – Sikap tenang boleh menjernihkan fikiran dan membulatkan tindakan yang lebih tepat. Berbanding dengan orang yang tidak tenang fikirannya kusut dan ragu-ragu dalam melakukan sesuatu tindakan.

2. Pandai Merancang – Orang yang pandai merancang kehidupan akan sentiasa meletakkan perkara penting sebagai keutamaan dalam hidup berbanding dengan orang yang tidak pandai merancang mereka selalu meletakkan perkara remeh sebagai keutamaan.

3. Sentiasa Ingin Belajar – Kemampuan seseorang manusia bukan berasal dari pembawaannya sejak dilahirkan, tetapi merupakan hasil dari proses pembelajaran yang dilakukannya secara konsisten sejak dari kecil. Oleh sebab itu jangan berhenti belajar sampai bila-bila pun. Di samping itu, dalam proses pembelajaran kita setiap hari kerendahan hati amat membantu kita untuk menyerap dengan mudah semua ilmu pengetahuan yang diinginkan.

4. Suka Memberi – Dalam hidup ini kita tidak seharusnya hanya belajar menerima sesuatu dari orang lain. Kita seharusnya belajar memberi yang terbaik kepada orang lain kerana ini akan membuatkan orang lain lebih menghargai kita.

5. Tidak Berlengah – Sifat suka menunda atau melewat-lewatkan sesuatu usaha boleh melambatkan pencapaian sesuatu matlamat. Oleh itu, kita mesti sentiasa cepat bertindak kerana waktu itu adalah amat berharga.

6. Personaliti Cemerlang – Perwatakan utuh itu adalah nadi kehormatan dan kegemilangan sesuatu bangsa. Seperti dalam pepatah orang Tionghoa,” Waktu yang diperlukan untuk menanam dan memelihara sebatang pohon adalah 10 tahun, tapi untuk membentuk watak yang utuh untuk sesuatu bangsa memerlukan waktu paling sedikit 100 tahun.”

Selasa, 17 Ogos 2010

SIFAT KETERBUKAAN ORANG MELAYU


 
Mengikut sejarah, bangsa melayu adalah bangsa maritim yakni bangsa pelaut bahkan tamadun Melayu di bina atas asas sumber perlautan yang terletak di Nusantara atau gugusan Kepulauan Melayu dikelilingi oleh lautan dan selat yang memmanjang menyebabkan bnagsa Melayu perlu meneroka alam yang luas untuk berhubung dgn kepulauan dan juga rantau yang jauh. Nusantara dalam sejarah sebelum kedatangan penjajah adalah satu kuasa dengan kemegahannya sebagai kesatuan maritim sebagai kekuatan laut yang berjaya dan disegani. Wawasan kelautan ini menjadikan manusia Nusantara itu mempunyai pemikiran yang luas, lapang, terbuka, bebas daripada kedangkalan, fanatik dan kekerdilan.

Sifat keterbukaan ini merupakan satu ciri penting dalam peradaban Melayu sehingga membolehkan mereka menerima pengaruh peradaban bangsa dan agama lain dari luar dunia Melayu. Bangsa Melayu wujud sebagai bangsa maritim dan perdagangan yang merdeka dan berdaulat serta berinteraksi dengan masyarakat luar berasaskan keyakinan diri dan kesediaan menerima apa yang baik dari luar. Oleh itu Alam Melayu menjadi tempat bertemu atau bertaut pelbagai tamadun besar dunia seperti Hindu-Buddha pada mulanya dan kemudiannya pengaruh Islam dan kemudiannya Tamadun Barat.

Kedatangan Islam bersifat revolusioner dan demokratik dengan penerimaan meluas golongan Istana, bangsawan dan rakyat jelata dengan cepat menghapuskan kepercayaan dan pengaruh Hindu-Buddha dalam Masyarakat Melayu. Identiti Melayu sudah mula berubah daripada identiti yang semata-mata berasaskan kesamaan bangsa, budaya dan bahasa dalam lingkungan Dunia Melayu kepada identiti yang lebih luas hasil daripada bangsa atau ummah berkenaan. Zaman kesultanan Melaka adalah kemuncak perkembangan tamadun Melayu Islam. Pada zaman ini perdagangan berkembangan pesat di antara Timur dangan Barat dan jaringan perdagangan ini didirikan melalui jalur laut dengan berpusat di Melaka.

Kewujudan sistem politik Islam berasaskan syariat yang berasaskan AlQuran dan Hadis dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran Ilmu Islam, perkembangan senibina, seni sastera dan lain-lain adalah bukti perkembangan tamadun yang menunjukkan minda Melayu memang terbuka dan kreatif untuk membina kemajuan.

Ahad, 15 Ogos 2010

LEGENDA SINGAPURA DILANGGAR TODAK


Dalam cerita-cerita lisan Melayu, terdapat banyak kisah tentang manusia yang berupaya bergerak dalam kecepatan cahaya. Tun Jana Khatib telah datang ke Singapura untuk menyebarkan Islam.  Beliau telah menunjukkan kepandaiannya menggunakan cahaya renungan mata, sehingga pokok pinang terbelah dua, di hadapan permaisuri.  Raja Singapura murka kerana merasakan Tun Jana Khatib sengaja menunjuk-nunjukkan kehandalannya di hadapan permaisurinya.  Tun Jana Khatib dihukum bunuh.  Bagaimanapun, setelah ditikam, hanya darah Tun Jana Khatib sahaja yang menitis ke bumi tetapi jasadnya hilang.  Kata orang, jasadnya ditemui di Langkawi dan dikebumikan orang di sana, seperti pantun yang dicipta berikut;
                                              Telur itik di Singgora
                                              Pandan tersandar di batang tui
                                              Darahnya titik di Singapura
                                              Badannya terlantar di Langkawi.

Tidak lama selepas Tun Jana Khatib dibunuh, Singapura telah mendapat malapetaka kerana diserang ikan todak sehingga banyak mengorbankan nyawa.

Sumber: Noor Hasnah Adam

                                 Fikir-fikirkanlah …

Kita Mesti Tahu ILMU


“Menyembah pada yang Satu
Berguru pada yang Tahu
Mencari menimba ilmu
Berkongsi pada yang  mahu”
Tamadun sesuatu bangsa bergantung pada tahap ilmu pengetahuan masyarakat itu.  Masyarakat yang berkecapaian berupaya memberi takrif dan meletakkan kewajaran (rasional) dalam setiap tindak tanduk mereka.  Ketamadunan sesuatu bangsa juga berkait rapat dengan adab, kesantunan berbahasa serta budaya hidup yang harmoni.  Demi mencapai ketinggian tamadun, masyarakat Melayu perlu berupaya menguasai pengetahuan dan ilmu.
Kitab al-Quran, dalam surah al-Alaq yang merupakan ayat pertama diwahyukan, mencetuskan satu pengenalan kepada aturan kefahaman ilmu pengetahuan dan kejadian manusia sendiri.  Pencapaian seseorang bergantung pada martabat ilmu yang dimiliki dan sejauh mana ilmu itu memberi manfaat kepadanya dan pengenalan kepada Penciptanya. Kelebihan manusia kerana anugerah aqal (yang sifatnya adalah berilmu), mengatasi makhluk lain dan melayakkan manusia diangkat menjadi wakil ganti (khalifah) di muka bumi.
                                  Fikir-fikirkanlah …

Sabtu, 14 Ogos 2010

JANGAN RESAH



Jangan rasa hina dan jangan resah.  Dalam permainan ada menang dan kalah. Hidup hanya menunda kekalahan. Kita boleh gagal, kita boleh salah, boleh timpa musibah. Tetapi tidak boleh kalah. Jadikan kegagalan cemeti untuk bangkitkan semangat baru. Kita tidak boleh menyerah kepada kelemahan; tidak boleh menyerah pada ujian hidup;  kita juga tidak boleh menyerah pada kekurangan kita. Kita mesti menjadi ibarat awan menembus gelap, supaya bisa menjemput fajar.

HATI KITA MILIK KITA


 
“Jangan merayu pada orang yang sudah tiada simpati. Hati kita milik kita. Bawalah hati itu dan pergilah dari situ.”



Fikir-fikirkanlah …

Jumaat, 13 Ogos 2010

TANDA-TANDA ORANG YANG SOMBONG


 
Di antara tanda-tanda orang-orang yang sombong itu cepat melahirkan sifat marah, suka memotong percakapan orang, suka bertegang leher, nampak di mukanya rasa tidak senang jika ada orang yang lebih darinya di satu majlis, bercakap meninggikan suara, pantang ditegur, tidak ada tanda-tanda kesal di atas kesalahannya.

Fikir-fikirkanlah …










MUHASABAH DIRI


 
Apabila rasa senang dengan pujian, rasa sakit dengan kehinaan, itu  menunjukkan kita ada kepentingan peribadi.Tanda-tanda kita tidak ikhlas membuat kebaikan.

Fikir-fikirkanlah …


Selasa, 10 Ogos 2010

“KUMAN SEBERANG LAUTAN NAMPAK ….”



Kegelapan hati selalu menyebabkan diri kita menyebut-nyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri kita sendiri. Bak kata orang tua-tua ‘kuman seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tak kelihatan’. Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan diri kita. Menuding jari mengatakan orang lain tak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang; satu jari arah ke orang itu tapi 4 lagi jari menuding ke arah diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk, malahan diri kita lebih buruk daripadanya. 

Oleh sebab itu, biasakan diri kita melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain. Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak. Dalam Islam ada digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat diri kita pula, lihatkan kejahatan yang ada pada diri kita walaupun kita pernah berbuat baik. Hanya dengan cara ini kita terselamat dari bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan kita ke dalam api neraka.

                       Fikir-fikirkanlah …

Isnin, 9 Ogos 2010

“AYAM BERTELUR SEBIJI, RIUH SEKAMPUNG"


Syaitan sentiasa hendak memerangkap diri kita dengan menyuruh atau membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa mengingat atau menyebut-nyebut tentang kebaikan yang kita lakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat amnya. Satu kebaikan yang kita buat, kita sebut-sebut selalu macam rasmi “ayam bertelur sebiji riuh sekampung”. Kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikan kita itu sudah menimbulkan satu penyakit hati iaitu ujub. Penyakit ujub ini ibarat api dalam sekam boleh merosakkan pahala kebajikan yang kita buat. Lebih dahsyat lagi jika menimbulkan riak atau bangga diri yang mana Allah s.w.t. telah memberi amaran sesiapa yang memakai sifatNya (Riak) tidak akan mencium bau syurga. Riak adalah satu unsur dari syirik (khafi). 

Oleh itu eloklah kita berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan diri kita kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa perbuatan buat baik yang ada pada diri kita itu sebenarnya datang dari Allah s.w.t. DIA yang menyuruh kita buat baik. Jadi kita patut bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita orang baik, bukannya mendabik dada mengatakan kita orang baik. Kita terlupa kepada Allah yang mengurniakan kebaikan itu.

Fikir-fikirkanlah …

JANGAN TERLAMPAU MENYUKAI




Jika anda menyukai seseorang, janganlah terlalu menyukai, kelak anda tidak akan nampak apa-apa kekurangan pada dirinya lagi. Jika anda membenci seseorang, janganlah terlalu membenci, kelak anda tidak melihat sebarang kebaikan pada dirinya lagi.
Manusia menjadi buta tatkala dia terlalu menyukai, terlalu meminati dan terlalu mengagumi. Semasa anda menyukai seseorang, anda akan terpegun dengam kata-katanya.
                                              Fikir-fikirkanlah …