Jumaat, 30 Julai 2010

MANUSIA SUKA MENGUMPAT


Menurut Imam al-Ghazali, banyak sebab mendorong seseorang itu suka mengumpat.
Antaranya:

# Menghilangkan kemarahan - Apabila seseorang itu marah terhadap seseorang maka disebut kejahatan dan kelemahan orang itu. Mengumpat lebih teruk lagi jika dicampur dengan hasad dan dengki.

# Menjaga hati kawan yang mengumpat. Ketika seseorang kawan marah dan mengumpat orang lain, orang mendengar itu turut serta menambah cerita yang ia tahu mengenai kejahatan dan kelemahan orang yang diumpat semata-mata untuk menjaga hati kawannya.

# Berasa terhina. Apabila seseorang membuat kenyataan umum, ia rasakan bahawa kata-kata itu ditujukan kepadanya dan ia berasa terhina. Tanpa berfikir panjang, lalu diumpat orang itu.

# Melepaskan diri. Apabila berlaku sesuatu kepincangan dalam masyarakat, lantas dia mengumpat dan menyalahkan orang lain untuk melepaskan diri daripada bertanggungjawab terhadap kemungkaran itu.

# Menunjukkan kebaikan diri sendiri. Seseorang yang ingin membuktikan kebaikannya dia memuji diri sendiri dan membandingkan dengan orang lain. Dalam hal ini ia menyebut mengenai kelemahan dan keburukan orang lain.

# Dengki. Apabila orang lain mendapat nikmat dan rahmat Allah, dia berasa dengki lalu menceritakan kelemahan dan kekurangan orang lain. Kadangkala ia mendakwa, dialah yang lebih berhak mendapat anugerah itu.

# Tujuan bergurau. Bagi membolehkan senda gurau dan lawak jenakanya diberi perhatian oleh orang ramai, ia mengumpat orang lain agar ditertawakan oleh pendengar.

# Menghina orang. Cara yang paling mudah untuk menjatuhkan dan memalukan orang lain ialah dengan menceritakan keaibannya.


Fikir-fikirkanlah …

Khamis, 29 Julai 2010

KALAU INGIN HIDUP BAHAGIA




Orang yang ingin hidup bahagia, perlu menjaga 4 perkara:

1. Teguh menjaga kehormatan

2. Redha menerima apa yang sedikit

3. Berbuat kebaikan setiap hari

4. Memelihara lidah dari perkataan keji.



“Jadilah bunga mawar yang indah berpagarkan duri. Jangan biarkan dirimu menjadi sebarangan bunga yang tetap juga indah tetapi, sayang tidak berduri. Apabila tiada duri, tiada lagi benteng yang boleh melindungi keindahan  si bunga daripada sewenang-wenangnya didekati sang kumbang.”



Fikir-fikirkanlah …

BODOH TAK DENGAR KATA

 

“BODOH TAK DENGAR KATA,
CERDIK TAK BOLEH IKUT.”
                                               
                                              - Bidalan Melayu




Jangan fikir dek kerana kita mempunyai ijazah universiti, berpangkat tinggi, atau mempunyai pengalaman lebih sedikit daripada orang lain, kita tidak perlu meminta atau mendengar nasihat orang lain. Adakalanya kita perlu mendapat nasihat daripada orang yang lebih dewasa daripada kita, atau yang lebih arif daripada kita, atau lebih berpengalaman daripada kita.

Jangan anggap seorang pekerja buruh itu tidak ada idea atau pendapat yang bernas atau praktikal. Setiap manusia, tak kira pangkat atau bangsa, masing-masing ada kepakaran atau pengkhususannya yang boleh kita pelajari atau ambil ikhtibar.

Jangan pandang rendah kepada sesiapa sahaja. Setiap manusia di dunia ada keistimewaannya, ada kepandaiannya yang tersendiri, dan ada pengalamannya yang telah dilaluinya lebih awal daripada kita. Oleh itu, mintalah atau belajarlah daripada mereka yang telah pun melalui jalan yang bakal kita tempuhi atau lalui. Jika kita bersikap tidak mahu dengar nasihat orang, kita adalah manusia yang sombong atau bodoh sombong, kerana tidak mahu ikut nasihat orang.



Fikir-fikirkanlah …


KUASA MATA



Mengikut rumusan saintifik, ketika manusia mendekati kematian atau berada dalam ketakutan, mata akan berputar-putar atau berbolak-balik sehingga mata kelihatan putih seluruhnya.  Ketakutan yang keterlaluan akan menyebabkan manusia hilang kesedaran sehingga merosakkan urat saraf pengetahuan dan urat saraf tidak sedar di otak.  Justeru manusia yang ketakutan akan kelihatan sama seperti orang yang pengsan – bertepatan sekali dengan surah Al-Quran.

Memandangkan mata merupakan antara anggota tubuh yang penting, orang Melayu mempunyai banyak firasat tentang pergerakan pada keliling mata serta penglihatan mata yang berkunang-kunang.


Fikir-fikirkanlah …